Monday, April 13, 2009

Kes 2: Perebutan Kuasa

Plaintif: Suami

Defendan: Isteri

Fakta Kes:

Pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahayamata iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. Kes hak jagaan kekal anak (hadhanah) ini difailkan sejak tahun 2004 yang lalu. Namun, pada tahun ini iaitu tahun 2009, pihak Plaintif dan Defendan bersetuju untuk menyelesaikan kes secara baik dengan anak-anak membuat pilihan di Mahkamah.

Untuk pengetahuan semua, jika diikutkan prosiding kes sebenar baru sahaja mencapai tahap keterangan pihak Plaintif. Masih belum disoal balas walaupun kes dah berjalan hampir 5 tahun.

Apa yang menjadi masalah di dalam kes ini ialah sikap kedua-dua Plaintif dan Defendan yang terlalu fokus kepada kehendak diri masing-masing dan bukannya kebajikan anak-anak. Hak jagaan telah pun diputuskan sebelum ini berdasarkan pilihan anak-anak yang memilih untuk tinggal bersama bapa (Plaintif) mengikut kebiasaan anak-anak tersebut.

Sehingga kepada proses rundingan terakhir, iaitu bagi menetapkan hak lawatan kepada si ibu (Defendan) yang telah kehilangan hak jagaan kepada si bapa, pihak Plaintif masih lagi memikirkan tentang kemudahan diri berbanding keperluan anak-anak.

Cuba bayangkan, pihak Plaintif enggan untuk memberikan hak bersama semasa cuti perayaan Aidilfitri kepada pihak Defendan dengan alasan bahawa pihak Defendan berasal dari negeri yang tidak menyambut Aidilfitri sebagai perayaan utama. Di sinilah saya mengambil peranan selaku penasihat bertauliah untuk merasionalkan kembali pihak yang keterlaluan dan percayalah, ianya bukan satu tugas yang mudah.

Keputusan:

Kes pada tarikh akan datang ditetapkan untuk rekod persetujuan. Sama-samalah kita berdoa agar pihak-pihak dilembutkan hati untuk mencapai persetujuan bersama demi kebajikan anak-anak tersebut.

Pengajaran dari kes ini:

Betapa manusia terlalu mementingkan diri sendiri dan sanggup menafikan hak orang lain meskipun berkaitan hati dan perasaan kanak-kanak yang sedia terganggu akibat perceraian ibu bapa mereka. Bukan parti politik sahaja yang berebutkan kuasa untuk menakluk sesebuah negeri atau negara namun dalam kes ini ibu bapa juga terkhilaf dalam memahami kuasa sebenar yang ada pada mereka. Fikir-fikirkanlah...

No comments: